Jangan Curang

Seorang sahabat berkata kepada saya. Jangan curang dalam kehidupan kita ini. Curang? Satu perkataan yang tidak pernah berlegar di fikiran sebelum ini. Jawab sahabat tadi, “Ya, jangan curang dalam kehidupan.”
Sahabat menceritakan kepada saya. Peristiwa berlaku apabila sahabat selesai menguruskan dakwah bersama non_muslim, pada mulanya mereka berdebat tentang kebenaran islam. Alhamdulillah pada tengah hari (5 April 2009) syahadah dilafazkan oleh non_muslim tersebut. Kadang-kadang kita melihat mengapa non_muslim itu baik perilakunya, suka membantu, dan mereka nampak lebih baik daripada kita. Betapa mereka ini benar-benar berusaha untuk kehidupan yang seterusnya. Mereka membuat kebaikan agar dirinya akan ke syurga. Tetapi mana mungkin ia akan ke syurga selagi syahadah tidak dilafazkan darinya.
Berbalik kepada kehidupan kita sebagai umat ISLAM. Kita perlu bersyukur di atas nikmat ISLAM yang ALLAH berikan ini. ALLAH menjanjikan syurga bagi kita. Namun, apakah kita telah bersedia mempersiapkannya? Semua manusia sama, diciptakan ALLAH menjadi khalifah mengabdikan diri hanya kepada-Nya dan saling bertanggungjawab untuk ingat-mengingati dalam kebaikan. ISLAM itu mudah, seandainya setiap insan mengamalkan Al-Quran dan Sunnah, menerima teguran dengan hati yang terbuka, ketidakfahaman tentang ISLAM dipertingkatkan bersama, perbalahan diselesaikan dengan satu kesimpulan yang membawa kita bersama mengukuhkan persaudaraan sesama umat ISLAM, yang muda dan tua saling menghormati dan berkongsi pandangan, nasihat dan teguran tanpa membezakan pangkat darjat dan keturunan, segalanya ini akan membenihkan persaudaran sesama insan sebagai umat ISLAM.
“Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi dan Dia mengangkat (darjat) sebahagian kamu di atas yang lain, untuk mengujimu atas (kurnia) yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu sangat cepat memberi hukuman dan sungguh, Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (A-An’am: 165)
Sebenarnya setiap insan di muka bumi ini berada dipenjuru masing-masing. Walau apa pun bidang dan kerjaya yang diceburi, setiap insan bertanggungjawab memainkan peranan menyampaikan kebenaran mengenai ISLAM. Tidak bermakna kebenaran itu disampaikan hanya melalui forum dan ceramah tetapi melalui pengamalan dalam diri setiap insan itu juga menjadi sebahagian daripada saluran menyampaikan kebenaran. Pengamalan pula tidak hanya pada ibadah solat semata-mata, malah meliputi keseluruhannya. Itulah ISLAM bersifat syumul dan sesiapa sahaja berhak memilikinya.
“Orang-orang yang bertakwa tidak ada tanggungjawab sedikit pun atas (dosa-dosa) mereka, tetapi (berkewajiban) mengingatkan agar mereka (juga) bertakwa.” (Al-An’am: 69)
Masya-Allah, sungguh indah hidup ini kerana dikurniakan ALLAH panduan hidup berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Mana mungkin kehidupan ini direncanakan oleh peraturan manusia. Moga kita sama-sama mempertingkatkan lagi ilmu dan pengetahuan mengenai ISLAM serta setiap bidang dan kerjaya yang kita miliki ini sekadar menjadi keperluan dalam meneruskan kehidupan bukan pemacu utama kehidupan. Bersyukurlah selalu dikurniakan ALLAH nikmat ISLAM dan IMAN yang diberikan secara percuma untuk hamba-Nya. Moga kita tidak lagi curang dalam kehidupan.
“Tinggalkan orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan senda gurau, dan mereka telah tertipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran agar setiap orang tidak terjerumus (ke dalam neraka), kerana perbuatannya sendiri. Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat (pertolongan) selain Allah. Dan jika dia hendak menebus dengan segala macam tebusan apa pun, necaya tidak akan diterima. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam neraka), disebabkan perbuatan mereka sendiri. Mereka mendapat minuman dari air yang medidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu.” (Al-An’am: 70)
Sesungguhnya, amalan kita bukanlah penentu untuk kita ke syurga. Kerana ALLAH berhak menentukannya. Jadi, seandainya terdapat kekurangan, kesalahan dalam penyampaian ini minta diperbetulkan sebagai panduan, pengajaran dan kebaikan bersama. Belajar dan mengajarkan itu perlu dalam kehidupan kerana kita adalah insan yang saling memerlukan dalam memperbaiki diri dan mencari kebenaran. Moga kita sama-sama sentiasa dalam keredhaan ALLAH. Insya-Allah.
“Ya Allah tunjukanlah kami yang hak sebagai yang hak, dan rezekikanlah kami kepada yang hak itu. Tunjukkanlah kami yang batil sebagai batil, dan rezekikanlah kami kekuatan untuk meninggalkan kebatilan itu.”
Merujuk kepada tulisan Dr. Aidh Bin Abdullah Al Qarni di dalam bukunya yang bertajuk Jagalah Allah...Allah Menjagamu... (m/s 303-304)
Sebahagian ulama’ menyebutkan, bahawa ada seorang lelaki dari Bani Israil bernama Abdullah yang tinggal di sebuah pulau. Setiap hari dia sentiasa beribadah dan beruzlah (mengasingkan diri kepada orang lain). Tatkala Allah mencabut nyawanya setelah 500 tahun beribadah, Allah berfirman kepadanya: “Apakah kamu akan masuk syurga kerana amal perbuatanmu atau dengan rahmatKu?” Lelaki itu menjawab: “ Tentu sekali dengan amalku.” Sebab dia beribadah selama 500 tahun. Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Wahai malaikatKu, hitunglah amal ibadahnya dengan ni’mat mata yang Allah berikan kepadanya. Maka mereka pun menghitungnya, lalu mereka mendapati bahawa sembahyang, ibadah dan syukurnya selama 500 tahun itu tidak dapat mengimbangai ni’mat mata yang Allah berikan kepadanya. Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Seretlah lelaki ini ka dalam apa neraka.” Maka dia pun berteriak dengan dahsyatnya dan berkata: “Wahai Tuhanku, masukkanlah saya ke dalam syurga dangan rahmatMu!” Maka Allah merahmati dan memasukkannya ke dalam syurga, mengajar kepadanya bahawa ni’mat-ni’mat Allah itu tidak dapat dihitung meskipun manusia berusaha menghitungnya.
Oleh kerana itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Ash-Shahihain) bersabda yang maksudnya: “Seseorang dari kalian tidak akan masuk syurga kerana amalnya melainkan kerana rahmat Allah.” Para sahabat bertanya: “Dan termasuk engkau juga, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Ya, termasuk aku, kecuali Allah menyelimutiku dengan rahmatNya.” (Al-Bukhari, no. 5673 dan Muslim, no.2816)
Kita semua adalah orang-orang yang miskin, bersalah, berbuat dosa, keburukan, kelalaian, dan banyak kekurangan.
Maka kita memohon kepada Allah untuk memberi rahmatNya kepada kita dan memasukkan kita ke dalam syurgaNya, kerana kita tidak mempunyai amalan yang akan menghantarkan kita menuju se syurga kecuali jika Allah merahmati kita.
Wallahu a’lam.
7 April 2009/3.41am