Soal Jawab Bersama Dr.Danial Zainal Abidin

Assalamu’alaikum
Saya Syahren bertugas di Sabah, ingin mengajukan soalan berkenaan duit yang diperolehi daripada pelaburan. Kawan saya ada bagitau bahawa ada satu syarikat yang menawarkan pelaburan yang membolehkan pelabur meraih RM 400.00 sebulan secara tetap selama 20 bulan apabila pelabur melabur sejumlah RM 5000.00. RM 400.00 tersebut boleh diambil setiap bulan jika mahu. Oleh itu dalam jangka masa 20 bulan, pelabur akan mendapat RM 400.00 x 20 bulan = RM 8000.00 & ditambah dengan duit pelaburan asal iaitu RM 5000.00 menjadikan jumlah keseluruhan RM 13,000.00. Apabila syarikat ditanya adakah RM 400.00 tersebut riba sebab pelabur mendapat RM 400.00 tersebut secara tetap, bukannya berdasarkan hasil pembahagian keuntungan syarikat tersebut. Jawapan yang diperolehi adalah RM 400.00 tersebut diberi oleh syarikat kepada pelabur sebagai hadah atau hadiah & akan tetap setiap bulan selama 20 bulan walaupun syarikat tersebut mengalami kerugian. Sama ada syarikat tersebut betul atau tipu itu perkara kedua & saya akan berhati-hati.
Soalan saya adakan RM400.00 tersebut dikira riba atau adakah konsep hadah boleh dipakai sebab kebanyakan pelabur yang diketahui adalah daripada golongan yang arif agama.
Sekian terima kasih
Jangan tertipu dengan serban, jubah, janggut, celak atau gelaran ustaz dan ustazah apatah lagi berdepan dengan isu-isu baru berkaitan dengan pelaburan dan syariah. Memang terdapat ustaz dan ustazah yang terbabas dalam aspek ini disebabkan mereka bukan pakar syariah dalam aspek ini.
Daripada soalan anda, model pelaburan yang anda ceburi menuntut anda membayar RM5000.00 wang pendahuluan untuk pelaburan. Dengan pelaburan itu anda diberi jaminan mendapat pulangan RM400.00 setiap bulan selama 20 bulan, iaitu berjumlah 8000.00. Tambahan daripada itu wang pelaburan asal berjumlah RM5000.00 dikembalikan. Justeru dengan pelaburan RM5000.00 anda diberi jaminan memdapat RM13,000.00 dalam masa 20 bulan. Untuk menghalalkan pelaburan itu mereka menamakan wang yang diberikan itu sebagai hadiah. Dari penggunaan kalimat ini pun sudah mendatangkan keraguan kerana pada asalnya disebutkan wang pemberian anda kepada syarikat sebagai pelaburan dan jika pelaburan pulangan yang anda peroleh mestilah beradasarkan konsep untung rugi dan bukannya hadiah dan pulangan tetap…. Pulangan tetap dalam bahasa Inggeris diistilahkan sebagai FIXED RETURN.
Pelaburan ini mengingatkan saya kepada ’syarikat’ EAINDEX. ‘Syarikat’ ini menyebut di laman webnya, “EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from inception”.
Syarikat ini memberikan satu pulangan tetap atau FIXED RETURN kepada pelabur-pelaburnya. Inilah yang dikatakan Riba kerana pelaburan yang diiktiraf Islam tidak menjamin keuntungan dan pihak pengurusannya tidak boleh membuat sebarang janji untuk memberi keuntungan itu. Pemberian pulangan tetap ini menjadikan pelaburan ini tidak sah sekali gus haram. (Sila rujuk Bada’i as-Sonai’, Al-Kasani, 5/119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 5/281 ; Mughni Al-Muhtaj, 3/404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/44)
Berhubung dengan isu ini, Majlis Penasihat Shariah Dunia (AAOIFI) memfatwakan, “Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu”. (Al-Ma’ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240). Ia selari dengan sabda nabi yang bermaksud, “(Bagi mendapatkan) keuntungan mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)”. (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; Albani : Hasan)
Sehubungan dengan ini, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang bersidang pada 29 Januari 2007 memfatwakan (Fatwa Bil: 2/ 2007), “Mesyuarat turut membuat keputusan bahawa sebarang skim yang menawarkan pulangan mudah tanpa sebarang usaha atau cepat kaya adalah haram. Antara ciri-ciri mengenalpasti skim ini adalah:
a) Menawarkan pulangan tetentu dan tetap dalam masa tertentu tanpa melakukan sebarang kerja yang setimpal
b) Tiada penjualan barang yang sebenar
c) Mempromosikan komisyen dan sistem kaki lebih utama dari menjual produk sebenar”.
Jauhilah daripada pelaburan yang haram.
Dr Danial

* Bersambung di bawah